07 Jun, 2009

Stadium Sultan Mizan, Runtuh Dalam Mengejar ‘Impian Menjadi Realiti’


Seluruh Negara di kejutkan dengan tragedi Stadium Sultan Zainal Abidin yang runtuh, walaupun baru berusia 367 hari setelah dirasmikan pada 11 Mei, 2008.(Klip Video Lawatan Lokasi Di Dalam)


Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, telah bergegas ke lokasi stadium yang terletak dalam kawasan Kompleks Sukan Gong Badak, sebuah kompleks yang penuh kontroversi sejak pembinaannya dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada era bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 1995.

Shaziman berkata tragedi bumbung stadium runtuh itu memalukan Negara walaupun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Katanya ia menjejaskan imej negara kerana runtuhan itu membabitkan stadium baru yang belum sampai setahun digunakan.


"Walaupun daripada segi membaikpulihnya ditanggung oleh kontraktor dengan memasang bumbung baru, ia memberi gambaran yang tidak baik kepada negara, seolah-olah kontraktor kita tidak berkemampuan untuk melakukan kerja (membina) bangunan sedemikian rupa," katanya selepas meninjau stadium itu bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Zaman Pemerintahan PAS

Pada zaman kerajaan PAS memerintah Terengganu pada 1999 hingga 2004, pembinaan projek stadium telah dengan kos asal RM200 juta itu ditangguhkan.

Bekas Exco kanan kerajaan Terengganu, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong berkata projek tersebut bukan ditolak tetapi tidak diteruskan kerana ia adalah projek yang besar belanjanya dan tidak memberi manfaat kepada rakyat, pada ketika itu.

“Masa kita ambil alih kerajaan pada tahun 1999, kita tangguhkan pembinaan stadium kerana belanjanya besar,

“kita juga mendapati (pada masa itu) tanah tapak pembinaan tersebut tidak sesuai kerana apabila kerja-kerja menanam cerucuk dilakukan, tidak jumpa tanah yang keras,

“pasal apa kita nak buat,”katanya ketika dihubungi Buletinonline semalam.

Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali turut menyokong kenyataan Dato’ Wan Abdul Mutalib.

Beliau yang juga bekas Exco Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri berkata kerajaan Barisan Alternatif Terengganu pimpinan PAS telah menangguhkan pembinaan stadium dan kompleks sukan Gong Badak kerana ia tidak menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Dulu projek tersebut sudah ada, tapi kita tangguhkan kerana belanjanya besar dan tidak menjadi keutamaan kerajaan negeri,”katanya.

Namun penangguhan projek mega tersebut telah di jadikan propaganda oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Ia menjadi salah satu daripada ‘wirid’ kempen Idris semasa pilihanraya umum ke 11 tahun 2004 dan propaganda tersebut berterusan apabila beliau merampas kerajaan Terengganu daripada PAS.

Roslan Abdul Rahman dalam tulisannya yang bertajuk ‘Bukan Omong Kosong’ menyatakan;

“Lapangan Terbang Baru, Stadium Baru! Lebuh Raya Pantai Timur...ia bukan omong-omong kosong bagi menyedapkan kata-kata IMPIAN MENJADI REALITI seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Sebenarnya apa yang diucapkan oleh pimpinan Kerajaan Negeri adalah benar dan tiada ada yang tidak benar melainkan benar belaka.

“Lihat gambar bukti tentang bagaimana pembinaan lebuh raya kini sedang rancak dijalankan, begitu juga pembinaan atau pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Stadium/Kompleks Sukan di Gong Badak.

“Tahniah Kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Haji Idris Jusoh yang sentiasa mendapat kepujian YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.” tulisnya dalam Laman Web UMNO Terengganu pada 13 September, 2006.

Pembinaan Stadium Utama yang kemudiannya di namakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah dimulakan pada 27 Mac, 2005.

Ia mengambil tempoh setahun untuk mengagih-agihkan projek tersebut kerana kegiatan lobi melobi yang berlaku diantara ‘kontraktor kroni’ setelah Idris merampas kerajaan Terengganu.

Masing-masing menuntut ‘faraid’ projek-projek yang dijanjikan oleh Idris sekiranya PAS berjaya di’nyah’kan dari Wisma Darul Iman.

Semua projek-projek yang ditangguhkan pelaksanaannya oleh kerajaan Pusat apabila PAS menang, di’struktur’ semula, digelar oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said sebagai projek-projek ‘contractor driven’.

Projek-projek tersebut termasuklah pembinaan stadium bukan dicadangkan oleh kerajaan negeri tetapi ‘melayang’ dari kerajaan Pusat dengan diongkosi oleh wang royalti Petroleum.

Akhirnya projek stadium terpaksa dianugerahkan kepada tiga pihak; Emarcon, Bina Struktur dan Genggam Mercu yang terpaksa berkongsi bagi memuaskan hati semua pihak.

Perbelanjaan pembinaan stadium tersebut yang dibenarkan kerajaan adalah RM 500 juta. (syiling)

Manakala projek kembarnya ‘stadium tertutup’ diserahkan kepada bekas Bendahari UMNO Terengganu Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) yang benilai RM 115 juta.

Semasa Era Ahmad Said.

Beberapa hari selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Dato’ Ahmad Said mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar menggantikan Idris pada 30 Mac, 2008, beliau telah membuat kenyataan yang mengejutkan.

Ahmad yang dilantik dengan penuh kotroversi berkata, beliau akan mengkaji perlaksanaan projek-projek mega yang dimulakan pada zaman Idris.

Projek yang dimaksudkan oleh Ahmad Said termasuklah pembinaan Kompleks Sukan Gong Badak yang termasuk pembinaan stadium utama.

Namun Ahmad terpaksa menelan ‘air liurnya’ sendiri apabila tidak ada pilihan, terpaksa meneruskan projek-projek yang telah diprogramkan oleh Idris.

Idris yang tidak pernah termimpi diturunkan ‘takhta’ sebagai Menteri Besar telah menyiapkan pelbagai pelan, bukan untuk rakyat, tetapi demi mengejar wawasan dan janjinya ‘Impian Menjadi Realiti’.

Impian Idris adalah untuk melihat kompleks sukan Gong Badak disiapkan dengan segera kerana beliau telah membuat komitmen membawa Sukan Malaysia (SUKMA) ke negeri Terengganu pada tahun 2008.

"Kompleks Sukan kita akan siap dan dapat digunakan pada awal tahun 2008. kemudahan-kemudahan ini dijangka siap sepenuhnya untuk SUKMA 2008. Saya percaya kegiatan dan tahap pencapaian sukan kita akan meningkat berikutan siapnya Kompleks Sukan yang indah dan hebat ini. "kata Idris ketika membentang Bajet 2008 sekitar November 2007.

Anak didik Idris, Dato’ Din Adam, yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu menjadi pelaksana impian Idris membawa SUKMA ke Terengganu.

Din Adam, diakhir hayatnya sebagai Exco turut menjadi pengejar impian Idris dan menyatakan keyakinan, kontraktor ‘kroni’ yang terbabit menyiapkan kompleks sukan akan menyiapkan pembinaan menjelaang SUKMA.

“Kontraktor terbabit sudah menambah tenaga pekerja dan bekerja 24 jam untuk memastikan projek ini siap dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengundian Sukan Berpasukan Sukma di sebuah di Kuala Terengganu, pada bulan Februari, 2008.

Namun, ketidaktentuan semasa peralihan kuasa antara Ahmad dan Idris telah menyebabkan pembinaan kompleks sukan Gong Badak terlambat.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob mengakui pembinaan Kompleks Sukan Negeri mengalami kelewatan ketika melawat prasaran sukan itu pada 12 April, 2008.

Disebalik pengakuan itu, Ismail berkata kelewatan menyiapkan projek kompleks sukan yang akan menempatkan Stadium Utama dan Stadium Tertutup tidak akan menjejaskan persiapan SUKMA yang akan berlangsung 29 Mei hingga 9 Jun 2008.

Sedang, tarikh siap kerja pembinaan stadium utama yang dimulakan pada 27 Mac, 2005 sudah pun berakhir pada 27 September, 2007.

Dan wang berjumlah RM300 juta daripada syiling RM500 juta sudah pun dibayar kepada kontraktor berkenaan.

Penangguhan projek terus diberi sehingga 30 April, 2008, oleh kerana kontraktor adalah dikalangan ‘anak beranak UMNO’.

Hari SUKMA – Impian Menjadi Realiti

Ahmad Said tersenyum lebar apabila Tuanku Sultan merasmikan stadium pada 10 Mei, 2008, walaupun beliau cukup tahu, ia adalah binaan yang separuh siap.

Paparan televisyen dan media arus perdana tidak langsung memfokuskan kamera masing-masing kepada seribu satu masalah yang ada dalam ‘batang tubuh’ Stadium Sultan Mizan.

Ketiadaan lampu limpah (spotlight) diatasi dengan memanggil ‘Event Management’ dari Kuala Lumpur, membawa apa sahaj peralatan, asalkan ‘ongkosnya’ beres.

Simpang siur wayar bekalan elektrik dari punca luar dibawa oleh ‘treler’ penjana kuasa elektrik yang di datangkan khas oleh Tenaga Nasional Berhad kerana mungkin stadium belum mempunyai bekalan elektrik yang cukup.

Atau mungkin pendawaian yang masih belum selesai, justeru bekalan elektrik kepada bahagian-bahagian tertentu dihadkan.

Terdapat beberapa bilik kompatmen di bahagian belakang stadium yang telus pandang ke lelangit konkrit, yang masih belum dikemaskan dengan syiling.

Air meleleh, mengalir ikut anak-anak tangga, tak tahu datangnya dari mana dan tandas stadium yang pelik, kerana hanya ada satu lubang pintu masuk untuk lelaki dan perempuan berkongsi bersama.

Yang paling membimbangkan, jelas kelihatan retak pada struktur utama paling tinggi, yang menyambungkan konkrit dengan besi tiang bumbung stadium.|

Tetapi semua itu tidak ada masalah, semuanya akan dibaiki menjelang perasmian SUKMA, kira-kira 20 hari lagi, pada 31 Mac, 2008.

Semua mata bertumpu kepada Diva tanahair, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang dipancari lampu sorot, bergedik-gedik atas pentas utama.

Buruh-buruh Indonesia, Bangla serta Pakistan mencuri-curi keseronokan, turut hadir dalam majlis perasmian Stadium yang tecanggih di pantai Timur itu.

Hilang segala masalah pembinaan stadium yang tergesa-gesa dan seribu masalah kerja yang akan timbul keesokkan harinya apabila dentuman kuat meriam memancarkan selerakan ‘bunga api’ di ruang udara!

Ahmad Said tersenyum lebar dan ketawa, apabila dirinya merealisasikan ‘impian’ Idris untuk mengiringi Tuanku Sultan berangkat ke pentas Diraja, merasmikan Stadium yang memahat sejarah itu.

Upacara perasmian dan perjalanan SUKMA juga tidak kurang hebatnya.

Walaupun atlet dan pekerja Indonesia berjalan seiringan diatas trek olahraga, namun atlet Terengganu menempa kejayaan dan pekerja Indonesia berjaya membaiki kerosakkan sini dan sana.

Stadium Sultan Mizan mengukir sejarah peribadi kepada Ahmad Said sehingga mengalirkan air mata kerana terlalu gembira.

Terengganu ditabalkan sebagai juara baru SUKMA sekaligus menjadi ‘Kuasa Baru’ sukan tanahair.

Tidak ada sesiapa yang menyangka sebelas bulan kemudian bumbung stadium akan runtuh !

Dan ketika Ahmad Said membuat tinjauan, melihat keseluruhan bumbung stadium yang runtuh semalam, Ahmad Said masih tersenyum dan ketawa….he..he…

Mungkin ‘Impian Menjadi Realiti’ kepada Ahmad, kerana bukan beliau yang membina stadium itu, tetapi Idris!



19 Mei, 2009

Semua Pihak Mahu DUN Perak Dibubarkan Kecuali Najib dan Zambry ?

Semua Pihak Mahu DUN Perak Dibubarkan Kecuali Najib dan Zambry ?

Pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) yang juga Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan, Dr Hsu Dar Ren menggesa BN bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) mengakhiri kemelut politik negeri Perak dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata sudah terlalu banyak kerosakan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat dan pilihanraya negeri sahaja yang dapat menyelesaikannya.

“Ia bukan lagi perkara siapa yang benar atau siapa yang salah, keputusan siapa yang berhak menubuhkan kerajaan seharusnya tidak lagi dibuat di mahkamah, tetapi lebih baik diputuskan oleh rakayat Perak sendiri, balik kepada prinsip asas demokrasi,”katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media.

Kenyataan Dr Hsu Dar Ren tersebut disokong oleh Pemuda Parti Gerakan negeri Selangor.

Ketua Biro Penerangannya, Delren Terrence Douglas yang mewakili seluruh pemuda Gerakan Selangor berkata hanya pembubaran DUN Perak sahaja yang dapat merungkai situasi semasa di negeri Perak.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan semalam, Pemuda Gerakan Selangor berkata walaupun Gerakan adalah komponen BN mereka menyarankan agar rakyat Perak diberikan hak untuk memilih pemimpin yang mereka mahukan.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri Perak, Pakatan Rakyat tuntas dengan tuntutan agar Dewan Undangan Negeri DUN) dibubarkan serta-merta.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada pihak media kelmarin.

Katanya ia (pembubaran DUN) membolehkan rakyat menentukan kerajaan mana yang memperolehi mandat serta kepercayaan mereka melalui pilihanraya yang bakal diadakan nanti.

Ketua Penerangan PAS Dato’ Mahfuz Omar mendesak pembubaran DUN Perak mesti dilakukan dalam tempoh terdekat.

Dalam kenyataan beliau semalam menegaskan, jika DUN dibubarkan, kerajaan sementara yang mentadbir Perak dalam tempoh tersebut hendaklah diwakili oleh Pakatan Rakyat dan BN.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata pembubaran "satu-satunya cara" keluar daripada krisis yang melanda negeri Perak.

"Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelit Perak, merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata umum," kata Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam blognya.

Tengku Razaleigh juga pernah mempertikaikan tindakan rampasan kuasa BN, termasuk menggugurkan jawatan Mohammad Nizar, dengan menyifatkannya di luar proses perlembagaan.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)Tan Sri Abu Talib Osman juga menggesa pembubaran DUN dan seterusnya pilihanraya untuk menyelesaikan kemelut politik Perak.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia," kata Abu Talib.


Beliau yang juga bekas Peguam Negara berkata "Tindakan mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak."

Menteri Besar Perak yang sah sebagaimana diisytiharkan Mahkamah Tinggi kelmarin, Dato’ Seri Nizar Jamaludin berkata, beliau ingin mencari penyelesaian muktamad menerusi mandat rakyat.

Tegas beliau, krisis politik negeri ini tidak boleh diselesaikan dengan menggunakan mahkamah semata-mata.

Dalam sidang media lewat petang semalam beliau berkata, parti-parti politik di negeri Perak perlu kembali kepada rakyat untuk memberikan mandat dengan pembubaran DUN.

Katanya Pakatan Rakyat telah menggerakkan usaha tersebut dan telah pun menghadap Sultan Perak bagi menyampaikan hasrat.

"Kami mohon menghadap Sultan Perak pagi tadi dan seterusnya akan memohon pembubaran DUN," katanya.

Beliau yang juga bekas Peguam Negara berkata "Tindakan mahkamah tidak semestinya menyelesaikan keadaan politik di Perak."


Hanya Zambry dan kerajaan UMNO/BN Pusat sahaja yang tidak mahu DUN Perak di bubarkan.

Di Mahkamah Rayuan semalam, ketika memohon untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengesahkan Nizar Menteri Besar Perak, peguam Zambry berhujah, penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi itu adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili kerajaan persekutuan turut menyokong hujah peguam Zambry.



03 Mei, 2009

Kerajaan Pusat Tidak Akan Memulangkan Wang Royalti

Pada 13 Januari, 2009, tiga hari menjelang pilihanraya kecil (PRK) Kuala Terengganu, Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat negeri Terengganu bakal menikmati royalti hasil minyak mencecah RM3 bilion setiap tahun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang sekaligus menjadi majlis kempen Barisan Nasional (BN) menghadapi PRK Kuala Terengganu.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita4/roayltitidakakanpulang.jpgPada Majlis yang sama Najib turut berkata, kerajaan pada prinsipnya meluluskan penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (Terengganu Investment Authority) untuk mengendalikan pelaburan royalti minyak itu dengan dana permulaan RM10 bilion.

Najib berkata tujuan TIA adalah untuk menjamin pendapatan kerajaan negeri Terengganu tidak susut walaupun hasil bahan api itu sudah tiada kelak.

Beliau berkata TIA yang merupakan cadangan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, bakal diurus oleh para profesional.

Badan itu akan menggunakan pendapatan daripada hasil royalti minyak untuk membuat pelaburan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi menjamin kelangsungan pendapatan negeri pada masa depan, katanya.


Tiga bulan selepas itu, pada 15 April, 2009, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said berkata dari tahun 2000 hingga tahun 2008 Kerajaan Terengganu hanya menerima wang royalti petroleum sebanyak RM6.27 bilion daripada kerajaan pusat.

Jumlah wang yang sepatutnya diterima oleh kerajaan Terengganu dalam tempoh tersebut adalah RM15.847 bilion.

Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Wakaf Mempelam, Hj Mohd Abdul Wahid Endut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dengan kenyataan Ahmad itu bagi pihak negeri Terengganu, bermakna Petronas masih berhutang wang royalti kepada kerajaan dan rakyat Terengganu sebanyak hampir RM10 bilion iaitu RM9.577 bilion.

Jumlah tersebut sama banyaknya dengan dana permulaan yang disebut oleh Najib akan digunakan oleh TIA.

Maka, dengan itu, wang royalti berjumlah RM10 bilion yang mungkin telah dibayar oleh Petronas kepada kerajaan persekutuan, tetapi belum diserahkan kepada negeri Terengganu, mungkin tidak akan di bayar langsung.

Sebab itu, sehingga kini, wang royalti hanya mengalir sedikit-sedikit kepada kerajaan negeri Terengganu, sedangkan jumlah yang masih belum dilunaskan begitu besar.

TIA Kepentingan Rakyat Terengganu

TIA memang pada asalnya adalah cadangan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang kebetulan menjadi Yang DiPertuan Agong masakini.

Ia cetusan hati seorang raja yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan dan keharmonian rakyat negeri di bawah naungannya.

Berdasarkan keprihatinan Sultan Mizan, sepatutnya TIA adalah satu badan yang ditubuhkan di bawah undang-undang tubuh kerajaan negeri Terengganu.

Ia sepatutnya dibawa dan dicadangkan ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri dan diputuskan dalam Dewan tersebut.

Ia adalah kerana TIA melibatkan kepentingan rakyat Terengganu, bukan kepentingan kerajaan pusat atau kepentingan nasional.

Namun, Najib telah ‘menculik’ idea tersebut, dan membawa cadangan penubuhan TIA ke dalam kabinet kerajaan pusat.

Sedangkan kerajaan pusat tidak mewakili hasrat rakyat Terengganu.

Sebelum ini, dalam kabinet Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi terdapat dua menteri dari negeri Terengganu, yang menjadi ‘suara’ rakyat Terengganu dalam kabinet kerajaan pusat.

Apabila Najib menajdi Perdana Menteri, tinggal hanya seorang sahaja menteri yang mewakili rakyat Terengganu, itu pun hanya mewakili potfolio yang kurang penting dari sudut ekonomi dan pembangunan.

Perebutan Wang Royalti Minyak

Tahun lalu, pada pada 19 April 2008, tidak sampai sebulan selepas Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar, beliau menuntut wang royalti dikembalikan dan diserahkan sepenuhnya kepada negeri Terengganu

Wang royalti minyak dihentikan pembayarannya kepada negeri Terengganu sejak tahun 2000 sewaktu negeri Terengganu ditadbir oleh PAS.

Wang tersebut ‘dirompak’ oleh kerajaan pusat setelah pemimpin UMNO Terengganu mengusulkan dalam Perhimpunan Agong UMNO, supaya ia tidak dibayar kepada kerajaan PAS yang sedang memerintah pada waktu itu.

Tindakan Ahmad Said menuntut kembali wang royalti banyak menimbulkan kesusahan kepada UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pusat, selain mendedahkan ‘tembelang’ bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pelbagai rahsia penyelewengan dan salahguna kuasa terbongkar ekoran tindakan Ahmad Said menuntut supaya wang royalti dikembalikan ke pangkuan negeri dan rakyat Terengganu.

Sejak wang royalti dirompak dan diuruskan tidak mengikut perjanjian dibawah akta petroleum, ia disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan nama wang ehsan.

Berbilion ringgit wang kerajaan negeri dan rakyat negeri Terengganu dicurahkan melalui projek-projek politik bertujuan menguatkan UMNO Terengganu dalam mencapai cita-cita untuk menawan kembali tampuk pemerintahan.

Kebanyakkan projek yang dilaksanakan di negeri Terengganu datang dari pusat dan tidak berdasarkan kehendak dan keperluan rakyat Terengganu.

Ia datang dari Abdullah selaku Pengerusi UMNO Terengganu dan dilaksanakan oleh Idris selaku Timbalan Pengerusi.

Pakatan antara Idris dan Abdullah ‘menggasak’ wang royalti diteruskan apabila UMNO/BN merampas kembali negeri Terengganu pada tahun 2004.

Kedua-dua pemimpin UMNO tersebut membelanjakan wang royalti sewenang-wenangnya dengan nama ‘Dana Khas Kerajaan Persekutuan’.

Kenyataan-kenyataan Ahmad dan Idris sendiri, berkaitan penggunaan wang tersebut membuktikan, wang yang sepatutnya digunakan meningkatkan taraf hidup rakyat Terengganu itu, dibelanjakan sesuka hati.

"Buat jalan dalam hutan dengan kos hingga RM50 juta hingga RM60 juta. Kita hanya mengetahui tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah seperti tanah ditarik balik dan sebagainya.

"Ini yang menjadi masalah... sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ehsan. Mereka menggunakan wang kita, jadi apabila kementerian yang buat ia adalah berasaskan kepentingan kementerian semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu.


"Ini menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri. Saya cakap terus terang ada sesetengah projek yang saya sendiri secara peribadi tidak berpuas hati kerana dengan kos yang tinggi, tidak memberi keutamaan kepada rakyat sebaliknya orang lain tentukan bukan kita, sedangkan kita tuan rumah," kata Ahmad ketika beliau menuntut semula wang royalti dikembalikan kepangkuan negeri Terengganu.

Setelah pendedahan tentang perbelanjaan wang royalti terbongkar di parlimen, Idris yang berkuasa menguruskan wang tersebut bersama Abdullah berkata “Beliau tidak tahu apa-apa”.

Pada 15 Mei, tahun lalu, Akhbar Sinar Harian melaporkan kenyataan Idris yang mengatakan beliau tidak tahu mengenai jumlah sebenar wang yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri Terengganu.

Giliran Najib dan Hishamudin

Sepuluh hari selepas Najib dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke Enam, meletup kemelut politik UMNO Terengganu.

Kemuncak pertelagahan kumpulan Ahmad dan Idris menyaksikan pada lewat tengah malam, 14 April, tiga wakil rakyat (ADUN) UMNO/BN dari kumpulan Idris membuat laporan polis, mengadu mereka telah diugut bunuh melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh berkata ugutan tersebut adalah berkait dengan isu ‘undi tidak percaya’ terhadap Ahmad Said, Menteri Besar Negeri Terengganu.

Ia merupakan tindakan balas terhadap kenyataan Ahmad yang mahu memecat mana-mana ADUN BN yang membawa usul tersebut ke persidangan DUN, seminggu sebelum itu.

Keesokkan harinya, kumpulan ‘10 budak hitam’ sepuluh ADUN bertindak memboikot persidangan DUN Terengganu dan memberikan tekanan kepada Ahmad supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Mereka sebenarnya adalah kumpulan yang sama yang membantah pelantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar setahun yang lalu.

Dato’ Rosol yang mengetuai 22 ADUN menghantar memorandum ke istana Terengganu membantah pelantikan Ahmad, mengetuai sidang media mengisytiharkan perang sekali lagi terhadap Ahmad.

Drama politik UMNO Terengganu pada kali ini tidak kurang hebatnya dari siri-siri panas Ahmad Said lawan Idris Jusoh sepanjang tahun 2008.

Namun ‘plot’ pada kali ini sedikit janggal, seumpama ianya telah diskripkan terlebih dahulu.

Kemunculan seorang pelakun tambahan, bekas Setiausaha politik Idris Jusoh, Dato’ Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir pada lewat tengah malam di balai polis Kuala Terengganu menimbulkan seribu pertanyaan.

Sehingga kini, setelah dua minggu berlalu, misteri penghantar SMS belum diselesaikan oleh pihak polis.

Tuduhan ADUN Permaisuri terhadap Setiausaha Sulit Kanan Ahmad Said yang didakwa sebagai penghantar ‘SMS ugut bunuh’ meleset sama sekali, mungkin menjadi satu adegan yang akan dipotong dari jalan cerita asal.

Namun apa yang menjadi satu kenyataan yang tidak pernah diduga adalah pelantikan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamudin sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Terengganu.

Samada ia adalah kebetulan atau satu lagi ‘konspirasi’, kemelut UMNO Terengganu telah membuka ruang kepada kerajaan pusat sekali lagi menguasai negeri Terengganu.

Ahmad tetap jadi Menteri Besar Terengganu, namun pengaruhnya dikalangan ahli UMNO, parti yang memerintah, kini dikurangkan kerana kuasanya sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri diambil oleh Hishamudin.

Suara politik Ahmad juga tidak akan sampai keperingkat pusat kerana Ahmad bukan ahli Majlis Tertinggi UMNO yang berkuasa membincangkan politik dan halatuju sesebuah negeri.

Najib perlukan RM10 bilion untuk menubuhkan TIA yang akan menjadi satu ‘benchmark’ baru serta ‘lubuk duit’ bagi projek-projek yang tidak dipastikan lagi.

Siapakah yang akan menghalang Najib menggunakan wang royalti minyak Terengganu sewenang-wenangnya apabila beliau melantik Hishamudin, sepupunya, menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu ??

14 Mac, 2009

Usaha Undi Tak Percaya Kepada Mad Said Masih Terus Berjalan

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said (Mad Said) terpaksa menafikan tohmahan orang Besut yang menuduh beliau mengabaikan pembangunan di daerah Besut selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negeri daripada Datuk Seri Idris Jusoh (Deris).

Menurut Mad Said, tohmahan itu tidak berasas memandangkan Besut menerima lebih RM800 juta daripada bajet negeri untuk tahun 2009 yang berjumlah hampir RM1.8 bilion untuk menyiapkan lima projek pembangunan di daerah itu.

Beliau memberitahu, antara projek berkenaan ialah Taman Ilmu berjumlah RM410 juta, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) berjumlah RM250 juta, Jertih Souq (RM45 juta), Sekolah Imtiaz (RM145 juta) dan Masjid Hadhari.

Namun beliau mengakui bahawa semua itu projek lama, projek yang di bawa balik oleh Deris sendiri.

”Meskipun ini projek lama tapi perlu diteruskan dan peruntukannya dimasukkan dalam Bajet Negeri 2009. Walaupun Taman Ilmu belum berjaya menarik sebuah universiti pun dan peruntukan Sekolah Imtiaz besar sedangkan ia bukan sebuah universiti, namun jika ditamatkan jadi cerita lain pula.

”Jadi, kalau kata saya ketepikan Besut, itu tidak betul. Jika tidak (Besut) tinggal begitu sajalah,” kata Mad Said pada sidang akhbar menjelang setahun pentadbirannya sebagai Menteri Besar Terengganu hujung bulan ini di sini Rabu lalu.

Mad Said dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Deris selepas kemelut pemilihan dan kontroversi yang berlanjutan kira-kira sebulan selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac tahun lepas.

Menurut Mad Said, daerah lain di negeri ini tidak menerima peruntukan sebesar Besut, malah Kuala Terengganu yang merupakan ibu negeri masih ketinggalan dari banyak segi.

”Saya sendiri malu dan sedih melihat keadaan Kuala Terengganu terutama semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari lepas iaitu apabila saya masuk ke kampung tengok rumah-rumah robek sana-sini,” kata Mad Said.

Namun hakikatnya semua orang politik tahu, kalau boleh memang Mad Said nak ‘kerat’ saja projek-projek tu.

Masa mula Mad Said naik tingkat 16 pun, memang semua projek-projek tu di buat ‘review’, dan ada yang ‘hold’ dulu.

Tapi disebabkan tak ada ruang nak ‘kerat’ kerana semua dokumen projek telah selesai, jadi Mad Said kena teruskan juga projek-projek Deris di Besut.

Yang lain semuanya dah Mad Said kerat. Dalam akhbar mingguan Watan, banyak diceritakan bagaimana Mad Said kerat orang-orang Deris di Kemaman.

Awang Tera masih dilihat sebagai orang Deris di Kemaman. Semua hubungkait urusniaga Kemaman Supply Base (KSB) kini diberikan kepada Hj Dol. Awang Tera pernah mengeluh tentang hal ini.

Pertukaran pegawai-pegawai tinggi kerajaan Terengganu menjelang pilihanraya Kuala Terengganu juga ada kaitan dengan ‘ethnic cleansing’ oleh kumpulan Mad Said.

Sebab itu timbul bantahan secara terbuka bila ada yang berani menaikkan kain sepanduk dipagar depan Wisma Darul Iman.


Begitu juga penstrukturan semula syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu. Secara sistematik Mad Said telah menendang keluar orang-orang Deris dan digantikan dengan orang-orangnya.

Dalam Sidang DUN yang lalu, Mad Said ambil kesempatan belasah Deris. Polisi-polisi yang Deris ambik dikritik Mad Said.

Antaranya Mad Said kata, tidak betul kalau ladang sawit di Kemaman tetapi pegawai duduk di Kuala Terengganu.

Mad Said ‘belebe’ ungkit kisah dulu-dulu, katanya pegawai TDM duduk di Kuala Terengganu, buah masak di ladang tidak diambil peduli.

Masa itulah dia ambil peluang belasah TV3, beri amaran tentang tuduhan rasuah yang dikeluarkan oleh TV3 masa Mad Said nak naik jadi Menteri Besar dulu.

Sebenarnya ‘orang Deris’ yang beri ‘line’ kepada TV3 buat ‘story’ rasuah Mad Said. Jadi dua-dua Mad Said sapu, TV3 pun kena, Deris pun dia sapu.

Dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, Mad Said bukannya hendak sangat supaya Wan Farid menang.

Semua orang tahu Wan Farid bukan pilihan Mad Said sebagai pengerusi perhubungan UMNO negeri.

Apabila Najib sudah mengisytiharkan Wan Farid sebagai calon, Mad Said terima saja dan buat-buatlah depan Najib yang dia kerja sungguh-sungguh.

Sandiwara Mad Said masuk kampung keluar kampung pun orang boleh lihat. Kalau tak, takkan di Ladang ada dua bilik gerakan UMNO.

Satu bilik gerakan untuk orang Mad Said dan satu lagi untuk orang Deris.

Usaha mengusulkan undi tidak percaya keatas Mad Said masih terus berjalan. Sehingga waktu hampir pilihanraya kecil Kuala Terengganu pun orang-orang Deris masih berkeliaran.

Ada juga kedengaran yang cuba ajak wakil-wakil rakyat PAS beri sokongan kepada mereka sekiranya usul itu dibawa ke Sidang Dewan.

04 Februari, 2009

Mari Kita Pantau Janji BN

Toh China Yaw, ADUN Bandar berkata baru-baru ini, walaupun BN kalah dalam pilihanraya Kecil Kuala Terengganu, kerajaan akan menunaikan segala janji-janjinya.

Mari kita sama-sama pantau segala janji (rasuah) BN semasa pilihanraya tersebut seperti dibawah;





1. Penubuhan dan pemberian RM1 juta untuk Tabung Kecemasan Nelayan

2. Peruntukan RM150,000 untuk skim pembangunan nelayan Kuala Terengganu

3. Pemberian secara lambak tanpa tender 583 projek Kelas F yang bernilai
RM15.8 juta

4. Upacara mengasas projek pembinaan unit kardiologi yang bernilai RM10 juta

5. Upacara perasmian projek pembinaan masjid di Kubang Ikan (Kuala
Terengganu) pada 15 Januari 2009


6. Upacara pecah tanah pembinaan 1,200 unit Projek Perumahan Rakyat
Termiskin (PPRT)


7. Perasmian peruntukan RM100 juta untuk membina 1000 unit rumah kos
rendah di Kuala Terengganu


8. Pemberian RM6.1 juta untuk SJKC Chung Hwa Wei Sin


9. Pemberian sebanyak RM2.5 juta untuk masyarakat Cina Kuala Terengganu


10. Pengumuman grant RM50 juta untuk sekolah-sekolah Cina


11. Pemberian pilot E-book kepada 100 orang pelajar di Kuala Terengganu.

Janji pemberian sejumlah 23,000 buah E-book, berharga RM1,300 sebuah,

kepada kanak-kanak sekolah.


12. 206 orang penenun songket menerima satu set seorang Kek Tenunan

Tradisional yang berharga RM695 satu unit


13. Pemberian RM3 bilion mulai tahun hadapankepada kerajaan Negeri

Terengganu sebagai royalti minyak


14. Mengisytiharkan projek untuk meluaskan ruang keluar-masuk pelabuhan

perikanan di Pelabuhan Cendering