Seluruh Negara di kejutkan dengan tragedi Stadium Sultan Zainal Abidin yang runtuh, walaupun baru berusia 367 hari setelah dirasmikan pada 11 Mei, 2008.(Klip Video Lawatan Lokasi Di Dalam)
Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, telah bergegas ke lokasi stadium yang terletak dalam kawasan Kompleks Sukan Gong Badak, sebuah kompleks yang penuh kontroversi sejak pembinaannya dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada era bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 1995.
Shaziman berkata tragedi bumbung stadium runtuh itu memalukan Negara walaupun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Katanya ia menjejaskan imej negara kerana runtuhan itu membabitkan stadium baru yang belum sampai setahun digunakan.
"Walaupun daripada segi membaikpulihnya ditanggung oleh kontraktor dengan memasang bumbung baru, ia memberi gambaran yang tidak baik kepada negara, seolah-olah kontraktor kita tidak berkemampuan untuk melakukan kerja (membina) bangunan sedemikian rupa," katanya selepas meninjau stadium itu bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Said.
Zaman Pemerintahan PAS
Pada zaman kerajaan PAS memerintah Terengganu pada 1999 hingga 2004, pembinaan projek stadium telah dengan kos asal RM200 juta itu ditangguhkan.
Bekas Exco kanan kerajaan Terengganu, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong berkata projek tersebut bukan ditolak tetapi tidak diteruskan kerana ia adalah projek yang besar belanjanya dan tidak memberi manfaat kepada rakyat, pada ketika itu.
“Masa kita ambil alih kerajaan pada tahun 1999, kita tangguhkan pembinaan stadium kerana belanjanya besar,
“kita juga mendapati (pada masa itu) tanah tapak pembinaan tersebut tidak sesuai kerana apabila kerja-kerja menanam cerucuk dilakukan, tidak jumpa tanah yang keras,
“pasal apa kita nak buat,”katanya ketika dihubungi Buletinonline semalam.
Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali turut menyokong kenyataan Dato’ Wan Abdul Mutalib.
Beliau yang juga bekas Exco Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri berkata kerajaan Barisan Alternatif Terengganu pimpinan PAS telah menangguhkan pembinaan stadium dan kompleks sukan Gong Badak kerana ia tidak menjadi keutamaan kerajaan negeri.
“Dulu projek tersebut sudah ada, tapi kita tangguhkan kerana belanjanya besar dan tidak menjadi keutamaan kerajaan negeri,”katanya.
Namun penangguhan projek mega tersebut telah di jadikan propaganda oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.
Ia menjadi salah satu daripada ‘wirid’ kempen Idris semasa pilihanraya umum ke 11 tahun 2004 dan propaganda tersebut berterusan apabila beliau merampas kerajaan Terengganu daripada PAS.
Roslan Abdul Rahman dalam tulisannya yang bertajuk ‘Bukan Omong Kosong’ menyatakan;
“Lapangan Terbang Baru, Stadium Baru! Lebuh Raya Pantai Timur...ia bukan omong-omong kosong bagi menyedapkan kata-kata IMPIAN MENJADI REALITI seperti dakwaan sesetengah pihak.
“Sebenarnya apa yang diucapkan oleh pimpinan Kerajaan Negeri adalah benar dan tiada ada yang tidak benar melainkan benar belaka.
“Lihat gambar bukti tentang bagaimana pembinaan lebuh raya kini sedang rancak dijalankan, begitu juga pembinaan atau pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Stadium/Kompleks Sukan di Gong Badak.
“Tahniah Kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Haji Idris Jusoh yang sentiasa mendapat kepujian YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.” tulisnya dalam Laman Web UMNO Terengganu pada 13 September, 2006.
Pembinaan Stadium Utama yang kemudiannya di namakan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah dimulakan pada 27 Mac, 2005.
Ia mengambil tempoh setahun untuk mengagih-agihkan projek tersebut kerana kegiatan lobi melobi yang berlaku diantara ‘kontraktor kroni’ setelah Idris merampas kerajaan Terengganu.
Masing-masing menuntut ‘faraid’ projek-projek yang dijanjikan oleh Idris sekiranya PAS berjaya di’nyah’kan dari Wisma Darul Iman.
Semua projek-projek yang ditangguhkan pelaksanaannya oleh kerajaan Pusat apabila PAS menang, di’struktur’ semula, digelar oleh Menteri Besar Terengganu Dato’ Ahmad Said sebagai projek-projek ‘contractor driven’.
Projek-projek tersebut termasuklah pembinaan stadium bukan dicadangkan oleh kerajaan negeri tetapi ‘melayang’ dari kerajaan Pusat dengan diongkosi oleh wang royalti Petroleum.
Akhirnya projek stadium terpaksa dianugerahkan kepada tiga pihak; Emarcon, Bina Struktur dan Genggam Mercu yang terpaksa berkongsi bagi memuaskan hati semua pihak.
Perbelanjaan pembinaan stadium tersebut yang dibenarkan kerajaan adalah RM 500 juta. (syiling)
Manakala projek kembarnya ‘stadium tertutup’ diserahkan kepada bekas Bendahari UMNO Terengganu Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) yang benilai RM 115 juta.
Semasa Era Ahmad Said.
Beberapa hari selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Dato’ Ahmad Said mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar menggantikan Idris pada 30 Mac, 2008, beliau telah membuat kenyataan yang mengejutkan.
Ahmad yang dilantik dengan penuh kotroversi berkata, beliau akan mengkaji perlaksanaan projek-projek mega yang dimulakan pada zaman Idris.
Projek yang dimaksudkan oleh Ahmad Said termasuklah pembinaan Kompleks Sukan Gong Badak yang termasuk pembinaan stadium utama.
Namun Ahmad terpaksa menelan ‘air liurnya’ sendiri apabila tidak ada pilihan, terpaksa meneruskan projek-projek yang telah diprogramkan oleh Idris.
Idris yang tidak pernah termimpi diturunkan ‘takhta’ sebagai Menteri Besar telah menyiapkan pelbagai pelan, bukan untuk rakyat, tetapi demi mengejar wawasan dan janjinya ‘Impian Menjadi Realiti’.
Impian Idris adalah untuk melihat kompleks sukan Gong Badak disiapkan dengan segera kerana beliau telah membuat komitmen membawa Sukan Malaysia (SUKMA) ke negeri Terengganu pada tahun 2008.
"Kompleks Sukan kita akan siap dan dapat digunakan pada awal tahun 2008. kemudahan-kemudahan ini dijangka siap sepenuhnya untuk SUKMA 2008. Saya percaya kegiatan dan tahap pencapaian sukan kita akan meningkat berikutan siapnya Kompleks Sukan yang indah dan hebat ini. "kata Idris ketika membentang Bajet 2008 sekitar November 2007.
Anak didik Idris, Dato’ Din Adam, yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu menjadi pelaksana impian Idris membawa SUKMA ke Terengganu.
Din Adam, diakhir hayatnya sebagai Exco turut menjadi pengejar impian Idris dan menyatakan keyakinan, kontraktor ‘kroni’ yang terbabit menyiapkan kompleks sukan akan menyiapkan pembinaan menjelaang SUKMA.
“Kontraktor terbabit sudah menambah tenaga pekerja dan bekerja 24 jam untuk memastikan projek ini siap dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengundian Sukan Berpasukan Sukma di sebuah di Kuala Terengganu, pada bulan Februari, 2008.
Namun, ketidaktentuan semasa peralihan kuasa antara Ahmad dan Idris telah menyebabkan pembinaan kompleks sukan Gong Badak terlambat.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob mengakui pembinaan Kompleks Sukan Negeri mengalami kelewatan ketika melawat prasaran sukan itu pada 12 April, 2008.
Disebalik pengakuan itu, Ismail berkata kelewatan menyiapkan projek kompleks sukan yang akan menempatkan Stadium Utama dan Stadium Tertutup tidak akan menjejaskan persiapan SUKMA yang akan berlangsung 29 Mei hingga 9 Jun 2008.
Sedang, tarikh siap kerja pembinaan stadium utama yang dimulakan pada 27 Mac, 2005 sudah pun berakhir pada 27 September, 2007.
Dan wang berjumlah RM300 juta daripada syiling RM500 juta sudah pun dibayar kepada kontraktor berkenaan.
Penangguhan projek terus diberi sehingga 30 April, 2008, oleh kerana kontraktor adalah dikalangan ‘anak beranak UMNO’.
Hari SUKMA – Impian Menjadi Realiti
Ahmad Said tersenyum lebar apabila Tuanku Sultan merasmikan stadium pada 10 Mei, 2008, walaupun beliau cukup tahu, ia adalah binaan yang separuh siap.
Paparan televisyen dan media arus perdana tidak langsung memfokuskan kamera masing-masing kepada seribu satu masalah yang ada dalam ‘batang tubuh’ Stadium Sultan Mizan.
Ketiadaan lampu limpah (spotlight) diatasi dengan memanggil ‘Event Management’ dari Kuala Lumpur, membawa apa sahaj peralatan, asalkan ‘ongkosnya’ beres.
Simpang siur wayar bekalan elektrik dari punca luar dibawa oleh ‘treler’ penjana kuasa elektrik yang di datangkan khas oleh Tenaga Nasional Berhad kerana mungkin stadium belum mempunyai bekalan elektrik yang cukup.
Atau mungkin pendawaian yang masih belum selesai, justeru bekalan elektrik kepada bahagian-bahagian tertentu dihadkan.
Terdapat beberapa bilik kompatmen di bahagian belakang stadium yang telus pandang ke lelangit konkrit, yang masih belum dikemaskan dengan syiling.
Air meleleh, mengalir ikut anak-anak tangga, tak tahu datangnya dari mana dan tandas stadium yang pelik, kerana hanya ada satu lubang pintu masuk untuk lelaki dan perempuan berkongsi bersama.
Yang paling membimbangkan, jelas kelihatan retak pada struktur utama paling tinggi, yang menyambungkan konkrit dengan besi tiang bumbung stadium.|
Tetapi semua itu tidak ada masalah, semuanya akan dibaiki menjelang perasmian SUKMA, kira-kira 20 hari lagi, pada 31 Mac, 2008.
Semua mata bertumpu kepada Diva tanahair, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang dipancari lampu sorot, bergedik-gedik atas pentas utama.
Buruh-buruh Indonesia, Bangla serta Pakistan mencuri-curi keseronokan, turut hadir dalam majlis perasmian Stadium yang tecanggih di pantai Timur itu.
Hilang segala masalah pembinaan stadium yang tergesa-gesa dan seribu masalah kerja yang akan timbul keesokkan harinya apabila dentuman kuat meriam memancarkan selerakan ‘bunga api’ di ruang udara!
Ahmad Said tersenyum lebar dan ketawa, apabila dirinya merealisasikan ‘impian’ Idris untuk mengiringi Tuanku Sultan berangkat ke pentas Diraja, merasmikan Stadium yang memahat sejarah itu.
Upacara perasmian dan perjalanan SUKMA juga tidak kurang hebatnya.
Walaupun atlet dan pekerja Indonesia berjalan seiringan diatas trek olahraga, namun atlet Terengganu menempa kejayaan dan pekerja Indonesia berjaya membaiki kerosakkan sini dan sana.
Stadium Sultan Mizan mengukir sejarah peribadi kepada Ahmad Said sehingga mengalirkan air mata kerana terlalu gembira.
Terengganu ditabalkan sebagai juara baru SUKMA sekaligus menjadi ‘Kuasa Baru’ sukan tanahair.
Tidak ada sesiapa yang menyangka sebelas bulan kemudian bumbung stadium akan runtuh !
Dan ketika Ahmad Said membuat tinjauan, melihat keseluruhan bumbung stadium yang runtuh semalam, Ahmad Said masih tersenyum dan ketawa….he..he…
Mungkin ‘Impian Menjadi Realiti’ kepada Ahmad, kerana bukan beliau yang membina stadium itu, tetapi Idris!