25 Julai, 2008

'Tak masuk akal'


Akhbar media perdana mengulas lagi bahawa kos menyenggara kereta Proton Perdana V6 Executive, kenderaan rasmi kerajaan negeri Terengganu yang mencecah lebih RM175,000 sebuah atau 25 kali ganda daripada kos sebenar bagi tempoh selama empat tahun disifatkan tidak masuk akal.


Ekoran dari hebatnya tindakan Idris dan Gengnya sehinggakan Proton Holdings Bhd. (Proton) terpaksa menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas untuk membuat penyiasatan dalaman.


Sudah tentu, hasil siasatan mungkin menakutkan, kerana ia tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja mengenakan harga lebih tinggi untuk mengaut untung semasa penyenggaraan kenderaan kerajaan negeri itu.


Harga yang dikenakan dipercayai 20 hingga 30 peratus lebih tinggi daripada harga sebenar.


Menurut sumber industri, kos menyenggara kereta Perdana V6 mungkin tidak akan menjadi isu sekiranya kerajaan negeri Terengganu melakukan servis di pusat servis Proton Edar.


Di Terengganu, terdapat sebuah pusat servis Proton Edar dan empat wakil servis.


''Ini kerana, di pusat servis berkenaan, para pengguna tidak akan tertipu kerana harga bagi setiap alat ganti dan kos menyenggara telah diselaraskan di seluruh negara,'' kata beliau.


Sekiranya kerajaan Terengganu menghantar kereta Perdana V6 ke pusat servis Proton, pasti kejadian penyelewengan harga bagi alat ganti dan kos penyenggaraan juga tidak akan berlaku.


Menurut sumber Proton, berdasarkan jadual penyenggaraan kereta Perdana V6, kos bagi perjalanan berdasarkan kilometer (km) dari 1,000 km hingga 100,000 km yang biasanya mengambil tempoh antara tiga hingga empat tahun ialah RM7,032.54.


Bagi kos membaiki atau menggantikan kotak gear pula adalah di antara RM3,000 hingga RM10,000, bergantung kepada bentuk kerosakan yang berlaku.


''Sebenarnya, kos menyenggara kereta Perdana V6 tidak semahal yang didakwa oleh kerajaan negeri itu, sebab itu kos yang dinyatakan seolah-olah tidak masuk akal.


''Kos senggara model ini (Perdana V6) tidak pernah menjadi isu di kalangan pengguna lain dan inilah pertama kali dakwaan seperti itu dibuat,'' katanya.


Sumber Proton menambah lagi, sebenarnya setiap pembeli kereta Perdana V6 akan mendapat jaminan untuk kotak gear dalam tempoh dua tahun sekiranya berlaku kerosakan.


Malah, selepas penggantian dibuat pada kotak gear, pengguna masih diberi jaminan selama setengah tahun atau bagi perjalanan sehingga 10,000 kilometer.


Mengulas mengenai isu kerosakan kotak gear yang didakwa kerap berlaku, sumber itu berkata, perkara itu sukar diulas kerana ia banyak bergantung kepada cara pemanduan.


''Sekiranya kereta berkenaan digunakan dengan cara yang betul, mustahil ia mudah rosak dan begitulah sebaliknya,'' katanya lagi.